"" " "

lagu

Tuesday, November 13, 2018

TAJUK 7: PENGURUSAN SUMBER

Pengurusan ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja yang terancang dan dilaksanakan secara sistematik, teratur dan mempunyai garis panduan tertentu. Pengurusan juga terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih entiti untuk tujuan menyelaras dan mengharmonikan kumpulan tersebut bagi mencapai sesuatu matlamat yang telah dirancangkan (Buck, 2010). Abdul Aziz Yusof (2007) menyatakan bahawa pengurusan merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan. Antara fungsi pengurusan termasuklah proses merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi serta menggunakan sumber-sumber yang lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan.
Sumber pula merujuk kepada sesuatu bahan yang boleh digunakan serta dimanfaatkan oleh manusia dalam aktiviti ataupun kegiatan seharian. Sumber terdiri daripda pelbagai kategori iaitu sumber alam atau semulajadi, sumber manusia, kewangan dan teknologi. Kategori sumber ini digunakan manusia secara langsung untuk proses kelangsungan hidup dan mempunyai perkaitan dengan definisi pengurusan. Dari aspek pembelajaran berasaskan sumber pula, kemahiran mengurus sumber adalah sangat penting bagi menjelaskan sesuatu fakta, membuktikan kesahihan sesuatu fakta dan menyatakan kebenaran fakta berkenaan agar tidak menyimpang atau menyerong dengan etika dan norma-norma masyarakat.
Terdapat beberapa jenis sumber atau alat bantu mengajar yang digunakan dalam membantu proses pembelajaran guru. Antara sumber yang digunakan ialah bahan bercetak dan teknologi maklumat. Sumber bahan bercetak didefinisikan sebagai bahan yang mempunyai tulisan dan wujud secara fizikal. Selain itu, bahan ini boleh disentuh dan dibaca secara terus dan ianya mestilah dihasilkan melalui cetakan bukan daripada tulisan tangan. Sumber bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, ensiklopedia, surat khabar, buku teks dan sebagainya. Sumber pengajaran dan pembelajaran ini telah diguna pakai oleh guru sejak sekian lama kerana harganya yang murah, senang didapati, mudah diperoleh dan mudah alih. Selain itu juga, bahan bercetak ini merupakan bahan yang kekal dan boleh dirujuk pada bila-bila masa saja kerana ianya banyak disimpan di perpustakaan dan arkib negara.
Selain daripada itu, bahan teknologi maklumat juga merupakan salah satu sumber yang digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ramai pelajar yang menyukainya. Jika sumber ini digunakan secara berkesan, alat bantu mengajar ini dapat meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru mempunyai kemudahan yang luas dalam menggunakan bahan teknologi maklumat ini kerana terdapat perisian-perisian percuma yang disediakan oleh kerajaan di setiap sekolah dan perisian tersebut bertepatan dengan sukatan pelajaran yang sedia ada bagi kemudahan guru dalam menyampaikan pengajarannya. Antara kelebihan bahan ini ialah para pelajar akan lebih mudah untuk memahami apa yang diajar oleh guru dan dapat mengekalkan minat pelajar untuk pelajaran seterusnya sekaligus dapat meningkatkan prestasi akademik mereka.
Ciri-ciri pembelajaran berasaskan sumber pembelajaran berhasrat untuk melibatkan semua pelajar belajar secara aktif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bermaksud, pelajar memainkan peranan yang penting semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang  berlangsung. Guru hanya bertindak sebagai pemerhati serta menjadi fasilitator kepada para pelajar. Selain itu, peranan guru juga adalah mencari sumber yang sesuai untuk digunakan oleh para pelajar setelah itu, para pelajar  bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti berasaskan sumber yang diberi oleh guru mereka. Menggunakan cara tersebut kita dapat melihat penglibatan aktif semua pelajar untuk mencari maklumat mengenai tajuk yang telah diberikan oleh guru mereka.
Selain daripada itu, ciri-ciri pembelajaran berasaskan sumber hendaklah lebih flaksibel dalam penggunaan waktu dan ruang belajar. Gaya pembelajaran pelajar boleh berubah-ubah mengikut kesesuaian yang mereka perlukan. Ciri pembelajaran berasaskan sumber dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk belajar mengikut keupayaan mereka. Sebagai guru mereka perlu mengetahui tahap keupayaan setiap pelajarnya supaya dapat memudahkan guru untuk mencari kaedah pengajaran yang sesuai untuk pelajar berkenaan. Tidak semua pelajar boleh memahami apa yang diajar oleh guru mereka. Ianya bergantung kepada tahap keupayaan seseorang pelajar. Para pelajar yang mempunyai tahap keupayaan yang rendah, tidak sesuai untuk belajar dengan menggunakan sumber bercetak seperti buku, majalah atau surat khabar kerana mereka tidak dapat memahami dan menguasai maksud yang cuba disampaikan dalam teks tersebut. Oleh sebab itu, golongan pelajar seperti ini hendaklah diajar menggunakan kaedah pembelajaran berasaskan komputer atau alat pandang dengar seperti televisyen mahupun video kerana mereka akan lebih memahami maksud yang cuba disampaikan dengan lebih jelas lagi.
Guru seharusnya tidak menggunakan sumber pembelajaran yang tidak berkaitan dengan aspek pendidikan negara kerana setiap pembelajaran yang diajar seharusnya mengikut acuan pendidikan negara. Hal ini bertujuan untuk melahirkan warganegara yang lebih patriotik dan mempunyai semangat cintakan negara yang tinggi. Pengambilan sumber juga haruslah sesuai dengan pembelajaran supaya memudahkan pelajar untuk memahami maklumat cuba disampaikan oleh guru. Tanpa sumber pembelajaran, guru sukar untuk melakukan proses pembelajaran dan pengajaran yang berkesan didalam kelas.
Ciri pembelajaran berasakan sumber yang terakhir ialah dapat menyajikan berbagai pendekatan tentang bahan pembelajaran, kaedah kerja dan saluran komunikasi bagi meningkatkan motivasi belajar para pelajar. Dalam konteks ini guru, boleh memilih sendiri kaedah pembelajaran dengan menggunakan pelbagai sumber seperti, internet, cakera padat, video, televisyen, buku teks, majalah, surat khabar, kamus ataupun sumber yang berasaskan manusia contohnya guru ataupun rakan sekelas. Melalui aktiviti seperti ini, mereka boleh berkomunikasi dengan guru ataupun rakan yang lain apabila tamatnya waktu persekolahan dengan menggunakan internet seperti email ataupun telefon.
Terdapat beberapa fungsi pusat sumber dalam pengurusan sumber. Fungsi utama dan peranan pusat sumber adalah sebagai tempat rujukan utama bagi kegiatan belajar dan mengajar. Para guru dan pelajar akan sentiasa membuat rujukan dan mencari bahan daripada perpustakaan. Para guru akan mencari bahan yang bersesuaian bagimembuat persediaan dalam proses pengajaran di bilik darjah. Pelbagai sumber rujukan di pusat sumber juga akan dapat membentu pelajar dalam mengulangkaji pelajaran merekadan mencari bahan rujukan tambahan untuk pemahaman atau dalam menambah maklumat yang telah disampaikan. Pelajar tidak dapat mengetahui dengan mendalam sesuatu pelajaran itu jika hanya sepenuhnya bergantung pada guru sahaja tanpa membuat rujukan tambahan
Selain itu, fungsi dan peranan pusat sumber juga berperanan sebagai tempat untuk mengisi masa lapang dengan melakukan perkara yang berfaedah. Hal ini kerana, dengan adanya pusat sumber mereka terutamanya pelajar yang mempunyai masa yang terluang akan mempunyai tempat bagi mengisi masa mereka. Mereka tidak akan membazirkan masa mereka dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti melepak di pusat membeli-belah, kedai makan dan sebagainya. Apabila mereka melepak di pusat sumber bersama kawan-kawan, mereka bukan sahaja dapat mengisi masa lapang dengan baik tetapi dapat menambahkan maklumat melalui pembacaan pelbagai bahan rujukan ilmiah yang telah disediakan. Mereka juga dapat berbincang dan menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru bersama kawan- kawan serta dapat menghindari diri daripada melakukan aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak.
Kesimpulannya, penggunaan sumber dalam bidang pendidikan mampu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pengajaran yang telah diajar kepada mereka. Selain itu, guru-guru dapat menyampaikan sesuatu pengajaran yang lebih berkesan berpandukan kepada sumber sebagai rujukan dalam membuat persedian mengajar. 

Sumber:

Jurnal/artikel yang berkaitan
Raja Rozita Binti Raja Ariff Shah (2013). Pengurusan Pusat Sumber Sekolah Di Sekolah Menengah Zon Bandar Daerah Segamat, Johor.Universiti Teknologi Malaysia.Dimuat turun daripada: http://www.fp.utm.my/epusatsumber/pdffail/ptkghdfwP2/Raja%20Rozita%20Binti%20Raja%20Ariff%20Shah.TP.pdf 

No comments:

Post a Comment