Pengurusan bilik pembelajaran merujuk kepada proses perancangan, pengorganisasian kawalan pelajar serta proses pembelajaran untuk memastikan suasana yang berkesan. Menurut Guey R. Lefroncis (1999) pengurusan bilik pembelajaran merupakan sesuatu konsep yang komprehensif untuk pelbagai aktiviti guru yang dirancang dengan tujuan memudahkan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah, merangkumi tindakan disiplin, rutin harian, penyusunan tempat duduk dan memperuntukan masa pelajaran. Richards (1990) mentafsirkan pengurusan bilik darjah sebagai organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan.Strategi membawa maksud pelbagai cara untuk mencapai tujuan. Strategi juga dapat disebut sebagai perilaku yang diambil oleh seseorang yang menggambarkan berbagai tindakan terkait dengan keadaan atau permainan (Benoit dan Trigeorgis, 2011).
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik pembelajaran. Faktor yang pertama ialah penyusunan kerusi dan meja pelajar mengikut kumpulan. Hal ini demikian kerana, penyusunan kerusi dan meja yang sistematik ini dapat meningkatkan kemahiran komunikasi antara pelajar sekaligus proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar. Selain itu, suasana bilik pembelajaran yang dihiasi dan diatur dengan kemas merupakan faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik pembelajaran. Apabila kelas dihiasi cantik dan ceria dengan pelbagai carta, poster, gambar, ia akan menaikan semangat para pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran seterusnya dapat menambahkan ilmu yang baharu buat para pelajar. Akhir sekali, faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik pembelajaran ialah saiz bilik pembelajaran yang mempunyai ruang yang cukup untuk bergerak. Keadaan ruang bilik darjah yang besar dan selesa memudahkan para pelajar untuk bergerak dan memberi keselesaan kepada para pelajar untuk menjalankan aktiviti kumpulan atau aktiviti permainan.
Terdapat beberapa pendekatan yang digunakan untuk menarik minat pelajar dalam pelajaran. Menurut Ee Ah Meng (1997), guru-guru akan dapat menimbulkan minat para pelajar terhadap pengajaran mereka menggunakan pellbagai rangsangan seperti nada suara yang berubah-ubah, carta yang menarik, pita rakaman, video dan permainan. Melalui aktiviti seperti ini, guru dapat menimbulkan dan mengekalkan minat para pelajar terhadap pengajarannya. Guru juga seharusnya pandai mengaitkan pelajaran dengan minat, perasaan ingin tahu dan ingin meneroka pada para pelajar. Menurut Smith (1969) pula, untuk melahirkan pengajaran yang berkesan, guru mestilah memahami tentang isi kandungan mata pelajaran yang akan di ajar dan yang seterusnya kefahaman mengenai disiplin-disiplin yang telah melahirkan mata pelajaran, manakala kefahaman kedua adalah untuk mendalami pengetahuan yang perlu dari segi intelek dan kebolehan menggunakan isi kandungan pengajaran tersebut. Pengajaran guru mestilah jelas dan mudah difahami pelajar agar dapat menarik minat pelajar untuk terus mengikuti pengajaran guru.
Setiap guru memainkan peranan yang penting dalam bilik pembelajaran itu sendiri. Di dalam mengurus bilik pembelajaran, seseorang guru berperanan besar bagi memastikan suasana bilik darjahnya bersifat kondusif dan selesa sesuai untuk dijalankan proses pengajaran dan pembelajaran. Guru juga perlulah merancang persekitaran bilik darjah dan rutin harian bagi tempoh satu-satu sesi pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran fizikal bilik darjah mestilah menarik dan kondusif. Hiasan dalam bilik darjah dan soal kebersihan juga perlu diberi perhatian. Susunan atau susun atur bilik darjah mestilah sesuai kerana ia akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru. Bagi menjamin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjah, seseorang guru hendaklah merancang objektif serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru sebagai perancang hendaklah memikirkan objektif satu-satu pelajaran serta kaedah pengajaran yang akan digunakan. Guru hendaklah mengambil kira kebolehan dan minat para pelajar ketika membuat perancangan pengajaran. Guru juga boleh merancang tentang cara menilai pelajarnya sama ada menggunankan ujian, lembaran kerja atau projek.
Kesimpulannya, pengurusan bilik pembelajaran yang baik tidak akan berlaku tanpa perancangan. Jelaslah bahawa pengurusan bilik darjah merupakan tugas penting yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum bagi memperoleh kesan yang maksimum. Guru perlu mendapatkan maklumat yang secukupnya tentang bilik darjah dan pelajar-pelajarnya terlebih dahulu. Persediaan guru yang lengkap dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (J.E.R.I) membolehkan Pengajaran dan Pembelajaran dijalankan dengan jaya, ceria dan cemerlang.
Sumber:
Nota dicapai daripada https://www.slideshare.net/jesycanandoh/kps-powerpoint-strategi-mengurus-bilik-darjah
Jurnal/artikel yang berkaitan
Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh (2009). ‘Pengurusan Bilik Darjah’. Dalam Noraini Idis dan Shuki Osman, Pengajaran dan Pembalajaran: Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw Hill. Pps 161 – 188. ISBN 978-983-3850-54-9. Dimuat turun daripada http://irep.iium.edu.my/13309/1/Chapter_-_Pengurusan_Bilik_Darjah_-_2009.pdf
No comments:
Post a Comment